Tuesday, November 9, 2010

while people sleep...



'The breeze at dawn has secrets to tell you. Don't go back to sleep'

-Jalaluddin Muhamad Rumi


Tertarik kepada satu artikel yang aku baca melalui sebuah akhbar tabloid yang aku kira sebenarnya ia membuka minda dan mata hati kita jika kita memandang dan melangkaui ke satu skop yang lebih luas dalam kehidupan ini.

Jadi aku kongsikan inti penulisan Sofian Resali itu melalui garapan dan pemahaman aku sendiri tanpa membuang bahagian bahagian penting isinya dan juga menggunakan tajuk yang sama.

While people sleep, we work. While people work, we work ahead.

Dia tidak akan melupakan kata-kata berkenaan. Kata-kata yang diucapkan oleh salah seorang pensyarahnya. Dan dari situ dia menyedari bahawa kejayaan orang Eropah, Cina dan sebagainya bukanlah disebabkan otak mereka yang cerdik tetapi semuanya adalah kerana sifat rajin dan usaha yang tidak pernah mengenal jemu dan putus asa. Lebih membuatkan dia tertunduk akur tatkala menemui firman Allah dalam surah Al-Israa' yang bermaksud,

'Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam
serta kerjakan sembahyang tahajjud padanya,
sebagai sembahyang tambahan bagimu;
semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu
pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
'

Persoalannya ialah mengapa malam?

Bukankah malam itu bagi orang yang biasa biasa adalah waktu untuk merehatkan diri dan tidur. Tetapi untuk mereka mereka yang ingin mencapai sesuatu yang lebih dari orang kebanyakan, untuk berjaya, mereka perlu mengorbankan masa rehat yang asyik dan enak itu.

Aku sendiri cuba memikirkan keadaan itu. Ya! Jika kita melihat secara direct, kita sendiri akan dapat melihat waktu malam hari, di sepertiga malam; sesungguhnya dikala itu suasana teramat tenang dan mendamaikan. Seandainya kita mengerjakan solat, pasti kekhusyukkan itu bertambah tambah. Lebih khusyuk dan tenang kita, insya allah lebih banyak pahala yang kita akan dapat.

Dan, jika diibaratkan solat lima waktu itu sebagai suatu 'pekerjaan', bagi orang yang biasa-biasa mereka cuma mendapat yang lima itu sahajalah cukup-cukup sebagai 'pendapatan' mereka seandainya masa masa yang lain diperuntukkan untuk aktiviti-aktiviti yang lain, berehat dan sebagainya. Tetapi seandainya mereka inginkan kejayaan yang lebih, ingin memperolehi 'pendapatan' yang lebih maka mereka perlulah melakukan sesuatu yang lebih dari kebiasaan. Menguruskan masa dengan baik dan menggunakan ruang ruang yang ada untuk melaksanakan 'pekerjaan' itu lebih keras dari yang dilakukan oleh orang yang biasa biasa.

Perlu kita sedar, kenapa ketika orang yang biasa-biasa cuma mengerjakan solat yang fardhu dan kemudiannya berehat dibuai mimpi yang indah tetapi kita pula perlu tambahkan dengan solat sunat?

Sebenarnya itulah jalan menuju kejayaan dunia dan akhirat. Ganjaran yang tidak hanya diperolehi untuk kehidupan duniawi tetapi juga kehidupan di akhirat. Insya allah.

Itulah diantara hikmah yang tersurat dan tersirat yang dapat aku fahami dalam konsep tahajjud ini. Kadang kadang aku merasakan bahawa hati kita ini buta dan leka walaupun panduan menuju kejayaan itu sebenarnya sudah di depan mata.

Walau apapun, setiap sesuatu usaha itu tetap perlu diiringi dengan doa selain daripada usaha yang kita lakukan. Kadang kadang di dalam waktu yang tidak disangka ujian dan dugaan diberikan kepada kita. Tetapi percayalah setiap ujian dan dugaan yang Allah berikan kepada kita itu sebenarnya adalah di dalam kemampuan kita. Cuma bagaimana cara kita menguruskan sesuatu ujian tu supaya kita nampak dan mendapat hikmah hikmah darinya. Kita perlu cuba membuat yang terbaik untuk setiap minit yang kita miliki. Dan di akhirnya, redho dengan segala ketentuan yang telah ditakdirkan.

Aku percaya, kadang-kadang sesuatu itu memang tidak ditakdirkan untuk kita. Dan, kadang-kadang apa yang tidak kita sukai itu sebenarnya adalah yang terbaik untuk diri kita.








'Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat.
Kita menangis dan tertanya-tanya kemana menghilangnya sinar.
Rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah.'


No comments: